AOL pembinaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuantan, belum diterima - Anthony

2024-08-16     berita.rtm.gov.my HaiPress

Foto BERNAMA

KUANTAN,15 Ogos- Kementerian Pengangkutan (MOT) masih belum menerima sebarang permohonan Lesen Pengendali Aerodrom (AOL) bagi pembinaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuantan yang baharu terletak di Gebeng,setakat ini.


Pembinaan Lapangan Terbang Antarabangsa itu juga merupakan antara komponen utama projek Pembangunan Bercampur Bandar Aeroangkasa di Gebeng yang memfokuskan pelaburan berimpak tinggi industri aeroangkasa.


Menterinya,Anthony Loke berkata beliau difahamkan projek berkenaan dijangka akan bermula pada tahun 2027.

Pihaknya menyambut baik hasrat kerajaan negeri Pahang yang ingin mewujudkan sebuah Lapangan Terbang Antarabangsa serta bersedia membantu dari segi permohonan lesen (AOL) tersebut.


"Kita masih belum menerima permohonan Aerodrom. Perancangan projek itu banyak. Lapangan terbang adalah sebahagian komponen,sebab saya difahamkan projek itu adalah satu bandar aeroangkasa."

Terdapat banyak komponen lain,termasuk industri aeroangkasa dan sebagainya. Jadi,yang kritikal adalah lapangan itu landasan dan perkara lain,mungkin memerlukan sedikit masa pembangunan tetapi projek itu akan bermula pada tahun 2027," kata Anthony kepada pemberita,hari ini.

Anthony ditemui selepas merasmikan Majlis Penutup Persidangan Antarabangsa Pelabuhan Kuantan 2024 di Sultan Ahmad Shah International Convention Center,Kuantan.

Turut hadir,Timbalan Menteri Pengangkutan,Datuk Hasbi Habibollah dan Pengerusi Lembaga Pelabuhan Kuantan,Tan Sri Tengku Azlan Sultan Abu Bakar.

Rancangan pembangunan termasuk bandar aeroangkasa itu membabitkan kawasan seluas 5,042 hektar,dengan anggaran kos RM2 bilion.


Pelaksanaan projek itu di Gebeng juga mengambil kira faktor hab ekonomi kerana terletak di kawasan perindustrian Gebeng dan berhampiran Pelabuhan Kuantan serta Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).


Dalam pada itu,ketika ditanya mengenai kemajuan projek pembinaan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL),beliau berkata kemajuan projek ECL kini mencapai tahap 70 peratus mengikut jadual dimana dijangka akan memulakan operasinya menjelang Januari 2027.


Penafian: Artikel ini diterbitkan semula dari media lain. Tujuan mencetak semula adalah untuk menyampaikan lebih banyak maklumat. Ini tidak bermakna laman web ini bersetuju dengan pandangannya dan bertanggungjawab ke atas keasliannya, dan tidak menanggung tanggungjawab undang-undang. Semua sumber di laman web ini dikumpulkan di Internet. Tujuan perkongsian adalah untuk pembelajaran dan rujukan sahaja. Sekiranya terdapat pelanggaran hak cipta atau harta intelek, sila tinggalkan mesej.