12-20
Buang stigma negatif berkaitan AI - Profesor UiTM
2024-08-14 berita.rtm.gov.my HaiPress
Profesor Ts Dr Haryani Haron menjadi tetamu khas bagi program Selamat Pagi Malaysia hari ini
KUALA LUMPUR,14 Ogos- Orang ramai perlu peka dan cakna dengan perkembangan teknologi kecerdasan buatan (AI) serta membuang segala stigma negatif berhubung teknologi tersebut.
Penolong Naib Cancelor Kolej Pengkomputeran,Informatik dan Media (KPPIM) UiTM,Profesor Ts Dr Haryani Haron berkata,teknologi AI membuka dimensi pekerjaan baharu dalam pelbagai bidang.
Sehubungan itu,semua pihak diseru agar tidak menganggap ia sebagai ancaman,sebaliknya alat untuk berinovasi,menyelesaikan cabaran serta memperkasakan individu dalam pasaran pekerjaan.
"Jika stigma mengatakan teknologi AI akan memusnahkan banyak pekerjaan hingga menyebabkan pengangguran... saya kurang bersetuju,kerana apa yang kita lihat sebenarnya peredaran teknologi ini mencipta banyak kewujudan teknologi (baharu),profesion... maknanya kerjaya-kerjaya yang mungkin tidak terfikir.
"Kita harus mengubah pemikiran,jangan beranggapan kerjaya hari ini itulah kerjaya yang akan kekal dalam masa 100 tahun lagi. (Ini kerana) kerjaya masa kini apabila adanya perkembangan teknologi... mungkin kerjaya itu tiada (atau) berubah bentuk dalam satu kerjaya yang wujud dipengaruhi oleh teknologi," katanya ketika ditemui pemberita di Angkasapuri di sini hari ini.
Sementara itu,Haryani berkata,perkembangan teknologi AI bukan sahaja meningkatkan taraf kehidupan malah menjadikan negara mampu bersaing seiiring negara-negara maju.
"Jadi bagi saya,apa-apa aplikasi yang dibangunkan oleh kerajaan,kita kena cuba menggunakannya... belajar menggunakannya,kerana itu apa yang dilakukan di negara-negara maju.
"Begitu juga bagi warga lanjut usia... jangan takut untuk menggunakan teknologi. Kita harus ingat teknologi yang terbentuk hari ini adalah hasil daripada kehendak yang kita mahukan (iaitu) satu kehidupan yang lebih baik. Jadi itulah yang berlaku dalam peredaran teknologi dunia," katanya.