12-20
Kelindan maut rempuh lori muatan sawit di Betong
2024-06-21 berita.rtm.gov.my HaiPress
Lori kargo merempuh belakang sebuah lori muatan sawit yang berhenti di bahu jalan akibat kerosakan/Foto Bomba
BETONG,21 Jun - Seorang kelindan maut dalam kemalangan jalan raya apabila kenderaan mereka merempuh belakang lori membawa muatan kelapa sawit di simpang Spaoh,Lebuh Raya Pan Borneo di Betong malam tadi.
Mangsa tersepit di tempat duduk dikenal pasti sebagai Renang Brain berusia 24 tahun meninggal dunia di lokasi kejadian.
Penolong Pengarah Operasi,Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak,Henderi Ardimansyah berkata,pihaknya menerima panggilan kecemasa pada pukul 11.44 malam.
"Pemandu lori kargo berkenaan,Jambul Entili,47,hanya cedera ringan di kaki kiri manakala pemandu lori sawit,Stanley Sumping,35,tidak mengalami kecederaan.
"Pasukan bomba bertindak mengeluarkan mangsa dengan menggunakan stretcher kemudiannya disahkan telah meninggal dunia di lokasi kejadian," katanya menerusi kenyataan.
Menurut beliau,lapan anggota pasukan dengan sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Betong dikerahkan ke lokasi kejadian yang terletak 23 kilometer dari balai.
"Jentera bomba tiba di lokasi pada pukul 12.16 tengah malam dan anggota segera mengeluarkan kelindan yang tersepit," katanya.
Mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis sebelum dihantar ke Hospital Betong untuk tindakan lanjut.